ni artikel gua post kat berita hairan dgn melayau tapi sure tak publish punya..
Mahasiswa – Antara Gaza dan A.Kugan
Ketika artikel ini ditulis, Israel dan Hamas telah bersetuju untuk gencatan senjata di Gaza. Sepanjang 2-3 minggu yang lepas, kita dapat melihat banyak pihak turun berdemo membantah serangan Israel. Mahasiswa di Malaysia turut tidak ketinggalan.
Kita juga dapat melihat Menteri Pengajian Tinggi akan ‘melupakan’ sementara Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk membenarkan mahasiswa seluruh negara pergi turun berdemo membantah Israel. Lalu hamper setiap hari kita dapat melihat setiap kampus IPTA menganjurkan demo. Demo ini untuk menunjukkan bahawa mahasiswa Malaysia adalah mahasiswa cemerlang yang mengambil berat dan bencikan keganasan.
Maka di sini kita semua dapat merumuskan bahawa majoriti mahasiswa Malaysia tidak bersetuju terhadap serangan ke atas Gaza.
Ketika artikel ini ditulis juga, mendiang A.Kugan baru saja selamat dikebumikan. Kugan mati dalam tahanan polis dan dipercayai didera ketika disoal-siasat. Nah! Kali ini tiada satu bunyi pun yang keluar dari mulut mahasiswa. Mahasiswa begitu lantang membantah tentera Israel menyerang Gaza, tetapi membisu apabila warga sendiri mati dalam tahanan polis.
Mari kita cuba teliti. Rata-rata mahasiswa yang pergi berdemo membantah Israel adalah mahasiswa melayu. Kebanyakan demo dianjurkan persatuan mahasiswa yang mempunyai perkataan ‘Islam’ dalam nama persatuan mereka. Mereka yang berdemo ini melaung-laungkan supaya membenci Yahudi dan berhenti menyerang Islam.
Dalam kes kematian saudara Kugan pula, mahasiswa yang sama tidak ambil peduli. Persamaan kes Kugan dengan apa yang berlaku di Gaza adalah kezaliman. Perbezaan yang ketara sudah tentulah agama si Kugan ini.
Adakah disebabkan saudara Kugan ini bukan seagama dengan kita maka kita tidak perlu ambil peduli? Jika inilah dia pemahaman ‘mahasiswa Islam’ tersebut, maka mereka semua adalah dinasihatkan supaya mengukur semula pemahaman Islam dalam diri mereka.
Kepada mahasiswa semua, sila faham dahulu sejarah persengketaan Israel dan Palestine. Ia bukan perang Yahudi-Islam. Ia adalah perjuangan nasionalisma rakyat Palestine menuntut tanah mereka yang dirampas oleh Israel. Di Palestine juga bukan semuanya beragama Islam. Ada juga warga yang beragama Kristian.
Memang betul untuk turun berdemo. Memang betul untuk membela saudara seagama. Tetapi kita perlulah memahami sepenuhnya isu tersebut. Barulah kita dapat berdemo dengan sepenuh hati.
Pepatah melayu ada menyebut, ‘raja adil,raja disembah. Raja zalim,raja disanggah.’ Apa yang perlu dilawan adalah kezaliman. Kezaliman dalam isu Gaza dibawa oleh rejim Zionis. Kezaliman dalam isu Kugan dibawa oleh watak polis.
Sekarang kita dapat memahami kebanyakan mahasiswa tersebut berdemo kerana mereka beranggapan yang diserang di Gaza adalah saudara seIslam mereka. Yang diserang adalah agama. Ini anggapan salah. Serangan tersebut adalah perampasan hak-hak tanah rakyat Palestine.
Mahasiswa semua perlu memahami hak-hak asasi manusia dan makna kezaliman. Kezaliman mencabuli hak-hak asasi kita sebagai warga. Kezaliman berlaku di mana-mana. Kezaliman bukan hanya wujud di Palestine. Kezaliman boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berkuasa, bukan hanya Firaun dan Namrud sahaja yang zalim.
Mahasiswa perlu melawan apa sahaja yang zalim. Tetapi awas dan waspada. Kezaliman ini kadangkala boleh dihalalkan. Kezaliman ini akan dihalalkan dengan pelbagai pembohongan dan tipu helah. Tipu helah ini lebih hebat daripada silap mata David Copperfield. Inilah yang kita sedang lihat dalam kes saudara Kugan. Rakyat sedang ‘disilap matakan’ oleh polis supaya tidak mempersoalkan kematian saudara Kugan.
Justeru, mahasiswa khususnya perlu menyambung kembali nilai kemanusiaan dalam diri mereka yang telah terputus-putus oleh kerana kegagalan mereka memahami Islam yang lebih luas.
Mahasiswa jangan hanya lantang untuk membantah rejim Zionis di Israel. Mereka ini berasa ‘selamat’ untuk membantah serangan Israel kerana tahu Israel adalah nun jauh di sana dan tidak akan menangkap mereka.
Mahasiswa juga perlu lantang membantah kezaliman di depan mata. Mahasiswa perlu membantah ISA. Perlu membantah tindakan pihak berkuasa merobohkan rumah setinggan. Membantah apabila pihak berkuasa menyalahguna kuasa. Semua kezaliman ini tidak ada bezanya dengan kezaliman oleh rejim Zionis. Pembawa wataknya sahaja yang berbeza.
Mahasiswa perlu berdemo bukan untuk Gaza sahaja. Mahasiswa perlu berdemo juga untuk rakyat sendiri. Bagaimana mahu menuntut sesuatu yang jauh untuk berubah sedangkan diri sendiri tidak jauh bezanya. Dan yang paling jelas lagi terang lagi bersuluh, berdemolah untuk diri sendiri, sama-samalah berdemo menuntut pemansuhan AUKU. (maj)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan