Sabtu, 25 Disember 2010

Mitos Panglima Anti-Lilin

oleh: Naqiuddin Sahar

Alkisah adalah sebuah kampong di pinggir Petaling Jaya; maka di dalam kampong itu adalah seorang ketua polis yang taat setianya pada kerajaan pemerintah tiadalah tolok bandingya – sama ada kelakuan bodek dan ampu termasuk dalam sifat taat setia ini tidaklah pula dapat dipastikan. Adapun ketua polis ini dikhabarkan amatlah istimewa dan bukanlah seperti orang-orang kebanyakan.

Menurut ceritera orang-orang lama, ketua polis ini adalah putera kepada Tuan Puteri Rose Lia. Pada malam Tuan Puteri Rose hendak bersalin, seluruh kampong keluh kesah akan gering Tuan Puteri Rose yang amat sangat. Semua bidan, tabib, bomoh terbaik dari tujuh kampong dikumpul untuk menyambut bayi Tuan Puteri Rose. Hatta, Tuan Puteri Rose pun makin sangat geringnya dan bersalinlah seketika lagi masuk waktu subuh. Maka tujuh hari selama bayi itu keluar:

Hujan panas berhari-hari
Hujan lebat bermalam-malam
Kilat sabung menyabung
Guruh halilintar mendayu-dayu

Adapun ketika bersalin, Tuan Puteri Rose terlalu amat saratnya gering lalu tertendanglah lilin milik bidan, tabib dan bomoh dari tujuh kampong itu. Maka terbakarlah seluruh isi rumah dan mangkatlah Tuan Puteri Rose itu. Adapun bayi itu selamat dibawa oleh kekandanya dari turut sama hangus terbakar. Maka diasuhlah bayi itu oleh kekanda itu bersama kawan-kawan panglima dan laksamana. Lalu, bayi itu diberi nama Sang Arjuna Idi Amin.

Ilmu Kitab sudah dikhatam,
Ilmu perang sudah digenggam,
Taat setia sudah mengeram,

Maka Sang Arjuna Idi Amin ini pun jadilah ketua polis seluruh kawasan Petaling Jaya selama dua belas tahun. Adapun Sang Arjuna ini amatlah dukacita dan benci akan orang-orang yang membawa lilin kerana hikayat mangkat bondanya angkara lilin. Telah ditangkap semua pembuat, pengedar, pembawa lilin tanpa bicara. Sang Arjuna juga percaya membawa lilin ini juga adalah amalan orang Yahudi dan Kristian; maka hendaklah ditangkap sebelum anak-anak kecil dipesongkan. Dari mana sumber hujah mabuk ini tidaklah pula disertakan.

Sebermula, maka adalah kekanda Tuan Puteri Rose yang juga pengasuh Sang Arjuna itu sudah uzur dan gering. Maka disuruhnyalah seorang assistant pergi memanggil Sang Arjuna itu, katanya, ”Engkau katakan kepada Sang Arjuna aku terlalu sakit payah dan hendak bertemu dengan dia.”

Maka assistant yang disuruh itu pun datanglah bertemu Sang Arjuna di IPD Petaling Jaya. Maka katanya, ”Adapun tuan itu terlalu sakit payah; hasratnya mahu bertemu dengan tuan hamba. Hari siang terlalulah panas bahang isi rumah dan hari malam terlalulah gelap isi rumah.”

Maka sahut Sang Arjuna itu, ”Akan aku pulang ke kampong halaman setelah habis office hour nanti.” Maka segeralah Sang Arjuna pulang ke kampong halaman membawa buah-buahan setelah habis office hour.

Maka sampailah Sang Arjuna ke kampong halaman seketika lagi masuk waktu Isya’. Adapun Sang Arjuna cukup terperanjat lagi dukacita melihat kain rentang sebesar gajah bertulis ”Sediakan Lilin” tergantung di pintu masuk kampong. Sang Arjuna lebih terperanjat melihat sekumpulan orang berkumpul sambil memegang lilin.

Maka nyatalah Sang Arjuna cukup marah dan sakit hati bila unsur-unsur lilin telah dibawa ke kampong halaman sendiri tempat tumpah darah. Maka dipanggil seluruh platun polis yang bertugas untuk membawa tujuh trak black maria dan menangkap sesiapa yang membawa dan memegang lilin, seraya bertitah dengan lantang, ”Tolong bersurai kerana tuan hamba berkumpul tanpa permit dan sangatlah biadap untuk memegang-megang lilin.”

Maka ditangkaplah semua yang berkumpul itu kerana tidak menurut perintah untuk bersurai. Adapun antara yang ditangkap itu adalah assistant yang bertemu Sang Arjuna sebelah siangnya. Maka berlari-larilah assistant itu bertemu Sang Arjuna sambil bertanya, ”Hai sahabat orang kampongku, kenapalah ditangkap semua orang-orang kampong ini?”

Maka balas Sang Arjuna, ”Kalian berkumpul sambil memegang-megang lilin, betapakah kalian mahu mencabar polis dan melawan kerajaan memerintah?”

Maka kata assistant, ”Dengarlah tuan hamba baik-baik supaya jangan tuan hamba menjadi bodoh dan taat setia membuta tuli!”. Tambah assistant itu, ”Orang kampong memegang lilin kerana tenaga elektrik sering saja putus-putus. Kabel elektrik selalu hilang dan tiadalah mereka yang mencuri itu ditangkap polis. Sebentar tadi orang kampung berkumpul kerana hilang pula fius di pencawang dan orang kampung pula yang ditangkap!”

Maka apabila didengar oleh Sang Arjuna itu akan perkataan assistant itu, maka malulah ia akan dirinya lalu melompat terjun ke dalam sungai akibat malu yang amat sangat.

p/s: ditulis pada Ogos lalu memperingati 30 orang yang ditahan kerana menghadiri candle light vigil anti-ISA depan Amcorp Mall

Jumaat, 24 Disember 2010

MATI HIDUP SEMULA

Satu keajaiban Krismas! Alumni Alai hidup kembali! Hidup semula pada Krismas Eve selepas setahun lebih grup editor alumni alai melanjutkan pelajaran dalam bidang seni mengikat tie!



Selamat Hari Natal semua warga alai!!